Saturday 3 November 2012

DIARI 25: PENGALAMAN BERAYA DI KEDAH


Cuti hari raya selama seminggu ini saya mengikuti rakan saya iaitu Azza ke kampung halamannya. Kampungnya terletak di kampung Gelong, Jitra, Kedah yang mengambil masa selama 6 jam perjalanan untuk sampai ke sana. Semasa dalam perjalanan ke Jitra saya mendengar kebanyakan orang menggunakan dialek utara yang saya kurang fahami. Setibanya di stesen bas Jitra kami diambil oleh ibu bapa rakan saya. Saya berada di rumah mereka selama seminggu. Keluarganya sangat ‘sporting’ dan bahagia menyebabkan saya berasa seperti berada di rumah sendiri.

Semasa berada di situ saya telah pergi kenduri, berjalan di Jitra, pergi pawagam menonton filem ‘Apa Celop Toqqq’ dan makan di KFC bersama keluarga azza. Saya juga telah bersiar-siar di sekitar kampunnya dengan menaiki motor. Saya berasa gembira kerana ini adalah pengalaman kedua saya menaiki motor. Saya telah mendengar dan mempelajari serba sedikit tentang dialek kedah semasa berada di kampung rakan saya itu. Antara perkataan yang saya pelajari dan ingat ialah perkataan taboh (tumbuk), ceq (aku), sengkak (perut penuh atau terlalu kenyang), mai (datang), coklat (gula-gula), kelik (balik), cemana atau lagu mana (bagaimana), berlemuih (comot), sat (sebentar), la (sekarang), loq laq (tak senonoh), tokak (gigit), ayaq (air), beghaih (beras), kughuih( kurus), tebai (tebal) dan banyak lagi.

Beraya di kampung orang lain merupakan satu pengalaman yang indah. Kita dapat mempelajari tentang budaya hidup mereka dan mempelajari bahasa yang mereka tuturkan. Disamping mendapat keseronokan kita juga dapat mempelajari bahasa baru. Walaupun penggunaan bahasa Melayu standard kurang digunakan di kampung itu tetapi masyarakatnya hidup bahagia.

Penggunaan bahasa Melayu standard dalam kalangan masyarakat dapat dipupuk sekiranya masyarakat itu sendiri mempunyai minat dan kesedaran tentang pentingnya menggunakan bahasa Melayu standard. Bahasa Melayu standard penting sekiranya mereka hendak memohon pekerjaan dan berjumpa dengan orang yang berbeza negeri dan bahasa disamping memudahkan pemahaman orang lain tentang percakapan kita. Hal ini demikian kerana bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan Malaysia yang difahami oleh semua rakyat Malaysia.

Friday 2 November 2012

DIARI 24: BARU ATAU BAHARU


Pada malam ini saya dan rakan saya duduk bersama-sama diruang tamu untuk makan. Setelah habis makan kami duduk bersama-sama melayari internet sambil bercerita. Dia kemudiannya bertanya tentang perbezaan perkataan ‘baru’ dan ‘baharu’. Hal ini kerana semasa di dalam kelas ada seorang rakan mereka bertanya kepada pensyarah tentang perbezaan perkataan ‘baru’ dan ‘baharu’. Oleh itu, pensyarah tersebut menyuruh mereka mencari beza perkataan tersebut dan akan disoal pada kelas yang akan datang iaitu selepas cuti hari raya haji.

Saya memberitahu kepada rakan saya itu bahawa guru saya pernah memberitahu kami tentang perbezaan perkataan ‘baru’ dan ‘baharu’ semasa saya berada di tingkatan 6 dahulu. Menurut guru saya, ‘baru’ adalah Kata Bantu Aspek Masa, iaitu untuk merujuk kepada masa. Contohnya, baru habis makan, bsru selesai bertugas, baru tamat latihan, baru mula mahu mengenali hati budi dan lain-lain lagi. Baharu pula ialah Kata Adjektif iaitu untuk menerangkan tentang perkara-perkara, barang-barang atau benda-benda baharu. Contoh penggunaannya ialah seluar baharu, azam baharu, tilam baharu, Iphone 4s baharu dan sebagainya. 

DIARI 23 : BAHASA PIJIN

Bahasa Pijin adalah nama yang diberikan kepada bahasa perhubungan yang digunakan oleh penutur pelbagai bangsa yang bertemu dan berhubung antara satu sama lain. Bahasa yang digunakan tidak semestinya salah satu bahasa asal kedua-dua pihak penutur tersebut. Bahasa Pijin terbit daripada satu bahasa yang secara drastik dipermudahkan struktur dan kosa katanya. Bahasa ini tidah digunakan oleh komuniti bahasa sebagai bahasa asal sebaliknya dipelajari. Contohnya, Bahasa Pijin ini digunakan oleh para pedagang semasa proses pertukaran barang atau ketika proses jual beli berlaku. Di Malaysia, kita boleh perhatikan bahasa Pijin digunakan oleh para peniaga yang terdiri daripada pelbagai kaum berhubung dengan pelanggan ketika berlaku proses jual beli.

Contoh bahasa pijin:
a)      mau apa?
b)      Kasi sama dia mangga itu.
c)      Lu mau angkat apa maa?





Gambar Pasar Sayur-Sayuran dan Buah-Buahan

Bahas Pijin digunakan oleh masyarakat cina dan india khususnya bagi memberi pemahaman kepada masyarakat Melayu yang diajak bercakap dengannya menyebabkan percampuran bahasanya maka lahirlah bahasa pijin. Bahasa Pijin juga boleh dikenali sebagai bahasa pasar manakala bahasa Pasar juga dikenali sebagai bahasa kacukan antara bahasa Melayu dengan bahasa lain. Pelat penyebutan dipengaruhi oleh pelat bahasa ibunda penutur. Kebiasaannya penutur bahasa Pasar kerap menggunakan perkataan punya. Contohnya, dia punya barang dan apa punya budak. Masyarakat seharusnya mengelakkan penggunaan bahasa Pijin mahupun bahasa Pasar semasa berbual. Mereka seharusnya mengutamakan penggunaan bahasa Melayu Standard bagi melancarkan bahasa Melayu mereka.

DIARI 22: STATUS DI FACEBOOK










        Pada hari ini seperti biasa saya mengisi masa yang terluang dengan melayari internet dan membuka laman sosial facebook. Saya mendapat banyak maklumat yang berguna dan mengetahui tentang perkara-perkara yang berlaku di seluryh dunia tanpa perlu membaca surat khabar dan menonton televisyen. Semasa leka membaca cacatan atau status yang ditulis oleh rakan0rakan di laman sosial ini, saya telah terbaca status seseorang seperti yang terdapat pada rajah di atas. Status ini berkaitan dengan dirinya yang sedang manghadapi sakit kepala. Beberapa orang telah membalas status yang dia tulis atau pamerkan.

Dalam ayat-ayat di atas terdapat penggunaan dialek seperti “tak dok", “pasaipa” dan “sangait”. Seterusnya, terdapat juga penggunaan singkatan perkataan seperti “tdo” iaitu “tidur” dan “nk” iaitu “nak” . Percampuran kod juga terdapat dalam ayat-ayat di atas seperti “orait”. Mereka seharusnya menggunakan bahasa Melayu Standard semasa membalas status tersebut agar dapat meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dan menanamkan minat atau rasa cinta terhadap bahasa Melayu di dalam diri mereka.

Thursday 1 November 2012

DIARI 21: PERKATAAN “BAH”


Penggunaan perkataan “bah” merupakan satu perkataan yang paling istimewa buat orang Sabah. Salah satu penggunaan kata yang membezakan bahasa Melayu Sabah dengan bahasa Melayu standard ialah kata “bah” yang sering digunakan dalam percakapan. Kata tambah “bah” mempunyai fungsi seperti berikut:

a)     Kata penyudah untuk menguatkan ekspresi kata seperti “iyabah” atau “iyalah”.

b)    Kata tambah pemula untuk memulakan percakapan. Selalunya digunakan pada permulaan kata    seperti “bah, kamu pigi lah dulu” atau  “kamu pergilah dulu”.

c)   Memberi maksud sudah atau penghabis kata. Pengganti dalam bahasa Melayu iaitu “baiklah”  atau “begitulah”. Contohnya:

bahasa Sabah: “Boy, nanti ko pigi beli beras di kadai sana”. Boy menjawab, “bah”.
            bahasa standard: ”Boy, nanti pergi beli beras di kedai. Boy menjawab, “baiklah”.

d)      Untuk menegur atau menyapa orang. Lazimnya orang Sabah akan menyebut “bah” bila berselisih dengan orang yang dikenali untuk tujuan menyapa orang tersebut. Contohnya, ko orang KL bah kan?, sejuk bah ni air dan awal lagi bah.

Masyarakat Sabah memang sinonim dengan perkataan “bah” yang begitu unik. Tetapi, saya sering mendengar perkataan “bah” disalahgunakan oleh segelintir masyarakat. Mereka suka menambah perkataan “bah” pada setiap akhir ayat. Contoh penyalahgunaan perkataan “bah” adalah seperti berikut:

a)      “apa khabar bah?”- untuk bertanya khabar tetapi ayat ini salah.
b)      “sudah makan ka bah?”- bunyinya pelik
c)      “bila balik bah?’- ayat yang tidak betul

Oleh itu, marilah kita bersama-sama menggunakan bahasa Sabah dengan betul. Bercakaplah dengan menggunakan bahasa yang betul. Tidak salah kalau salah cakap sebagai langkah pertama untuk belajar.  

Wednesday 31 October 2012

DIARI 20: CERAMAH “MENANTU WAS-WAS”


Pada hari ini saya melayari internet seperti biasa. Saya telah melihat ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Idrus melalui “you tube”. Ceramah ini bertajuk “Menantu Was-Was” atau kurang pasti tentang perkara yang berkaitan dengan solat. Selama menyampaikan ceramah tersebut Ustaz Idrus banyak menyelitkan unsur-unsur lawak menyebabkan pendengar tertarik untuk mendengar ceramah tersebut disamping dapat menambah ilmu pengetahuan berkaitan agama.

Semasa ceramah ini berlangsung, saya dapati beliau mempunyai sebutan dan intonasi suara yang begitu terikut-ikut dengan dialek negeri beliau iaitu Terengganu. Dalam penyampaian ceramah ini terdapat penggunaan singkatan perkataan iaitu “gi” mewakili perkataan “pergi” dan “tak” mewakili tidak dalam bahasa Melayu. Seterusnya, penggunaan dialek seperti “molek-molek” dan “tak dok”. Percampuran kod iaitu perkataan bahasa Melayu dicampurkan dengan bahasa Inggeris juga terdapat dalam penyampaian beliau seperti “cukup simple”. Beliau juga ada menggunakan bahasa slanga seperti perkataan “binawe”.  

Wednesday 24 October 2012

DIARI 19: IKLAN MERDEKA “KERETA BURUK”


Pada hari ini saya melayari internet seperti biasa. Semasa melayari internet saya sempat membuka “you tube” dan telah terlihat sebuah iklan berkenaan kemerdekaan. Iklan ini menceritakan tentang penciptaan kereta bersempena dengan hari merdeka. Para pelajar bersaing untuk mencipta sebuah kereta. Sekumpulan pelajar telah berjaya mencipta kereta untuk digunakan sebagai kenderaan menjual cendol.

Dalam perbualan mereka terdapat kesalahan penggunaan kata sapaan yang agak kasar seperti “bai” dan “korang”. Percampuran bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa tamil juga terdapat dalam iklan ini. Penggunaan dialek juga ada terdapat dalam iklan ini seperti dialek sabah iaitu “mo action ko tok, mo mula keja tu”. Iklan seharusnya menggunakan bahasa Melayu secara keseluruhannya agar minat seseorang itu terhadadap bahasa Melayu akan meningkat. 

Wednesday 17 October 2012

DIARI 18: PERBEZAAN PERKATAAN “MAKAN”


Hari ini kami serumah seramai 6 orang makan bersama-sama. Kami terdiri daripada orang Sabah, Sarawak dan Terengganu. Sebelum makan kami yang beragama Islam membaca doa makan. Setelah itu, rakan daripada Sarawak menyebut perkataan “makai kitai”. Kami semua terkedu kerana tidak memahami maksud perkataan itu. Dia seterusnya menjelaskan perkataan itu bermakna mari kita makan. Rakan daripada Terengganu pula mengatakan bahawa dalam dialek mereka perkataan “makan” disebut sebagai “makang”. Kami pun terus menyambung bahawa perkataan “makan” di Sabah mempunyai banyak sebutan yang berlainan mengikut bangsa. Bagi bangsa kadazan dusun mereka menyebut makan sebagai “akanun”, bajau pula menyebut “mangan”, bugis menyebut “kande” dan bangsa kaili menyebut “sapo”. Walaupun satu perkataan iaitu “makan” tetapi sebutan atau panggilan untuk perkataan makan adalah berlainan mengikut masyarakat. 

Tuesday 16 October 2012

DIARI 17: PENGGUNAAN KATA PEMERI


Kata pemeri terbahagi kepada dua iaitu “ialah” dan “adalah” bagi merungkaikan frasa subjek dan predikat. Kata pemeri “ialah” digunakan apabila predikatnya terdiri daripada frasa nama dan digunakan untuk menyampaikan maksud persamaan atau ekuatif. Manakala kata pemeri “adalah” digunakan untuk menerangkan subjek dengan predikat yang terdiri daripada frasa adjektif dan frasa sendi nama.

Kesalahan penggunaan kata pemeri kerap dilakukan oleh pelajar semasa membina ayat atau menghasilkan karangan. Contoh kesalahan penggunaan kata pemeri “ialah” dan “adalah” seperti berikut:
a)      Mamalia adalah haiwan berdarah sejuk.
b)      Minatnya sejak kecil ialah dalam permainan bola sepak.

Bagi ayat (a), kata pemeri “ialah” sepatutnya digunakan kerana diikuti frasa nama manakala ayat (b) pula harus menggunakan kata pemeri “adalah” kerana ianya hadir di depan frasa sendi nama. Dalam ayat dasar pula kata pemeri tidak perlu digunakan kerana ayat tersebut sudah gramatis. 

DIARI 16: ISTILAH “KARAN ATAU API” DAN “LAMPU SULUH ATAU SENTER”.


Semalam kolej Za’ba telah mengadakan program “Kz Hour” yang mana semua lampu di rumah harus dipadamkan selama sejam bermula daripada jam 9 malam hingga 10 malam. Hal ini bertujuan untuk menjimatkan penggunaan tenaga elektrik. Semasa jam menunjukkan jam 9 malam, kami memadamkan lampu dan rakan saya yang berasal dari Semenanjung bersorak mengatakan “api padam”. Kami yang berasal dari Sabah berasa terkejut dan mengatakan “di mana ada  api”. Mereka pun memberitahu kami bahawa “api” membawa maksud elektrik. Kami yang berasal dari Sabah pun mengatakan bahawa di tempat kami sekiranya bekalan elektrik terputus kami menyebutnya sebagai “mati karan”.

Lima belas minit kemudian setelah kami memadamkan lampu, rakan saya yang juga berasal dari Sabah hendak pergi ke tandas. Dia bertanyakan kepada kami bahawa dia hendak meminjam “senter”. Rakan yang lain kebingungan kerana tidak memahami maksud perkataan “senter” itu. Dia kemudiannya menjelaskan bahawa dia hendak meminjam lampu suluh untuk ke tandas kerana gelap. Maksud perkataan “senter” di sini adalah “lampu suluh”.

Istilah yang berbeza di antara Sabah dan Semenanjung menyebabkan pemahaman yang berlainan terhadap sesuatu perkara.  

Monday 15 October 2012

DIARI 15: FILEM ADNAN SEMPIT 2

Pada malam ini saya berasa sangat bosan kerana internet tidak dapat berfungsi dengan sebaiknya. Oleh itu, saya telah menonton filem yang sudah di “download” bersama dengan rakan saya. Kami telah menonton filem yang bertajuk “Adnan Sempit 2”.

Filem ini menceritakan tentang seorang mat rempit yang bernama Adnan yang sedang bercinta dengan anak orang kaya iaitu Nadia. Cinta mereka mendapat sedikit halangan daripada keluarga Nadia kerana gaya hidup mereka berbeza. Oleh hal yang demikian, Adnan disuruh belajar cara hidup seperti keluarga Nadia. Setelah melalui pelbagai halangan daripada keluarga Nadiah, akhirnya mereka telah bersama dan ibu bapa Nadiah pula mencuba cara hidup seperti Adnan.

Semasa menonton filem ini saya mendapati mereka menggunakan 3 bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan dialek kedah (utara). Di dalam filem ini, terdapat penggunaan percampuran bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam satu ayat. Contohnya, “don’t merempit”, “masuk gear” dan “kereta I”. Selain itu, terdapat penggunaan dialek kedah iaitu “hang”, “putui”, “hampa” dan “fikiaq”. Bahasa slanga juga digunakan dalam filem ini seperti “lu apa hal” dan gua sayang lu”. Terdapat juga kata panggilan seperti “bro”, “lu”, “gua” dan “deh”. Penggunaan singkatan perkataan juga terdapat dalam filem ini iaitu “tak da”.

Percampuran bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan dialek haruslah dielakkan. Industri filem di Malaysia seharusnya mengambil berat tentang penggunaan bahasa dalam sesebuah filem sebelum diterbitkan. Penggunaan bahasa Melayu adalah perlu dalam sesebuah filem bagi mengangkat martabat bahasa melayu di peringkat dunia. 

DIARI 14: MAJALAH UJANG


Saya telah membaca majalah lawak antarabangsa iaitu “majalah ujang” keluaran september 2012. Majalah ini banyak mengandungi unsur-unsur humour ataupun jenaka dan pembaca yang membaca akan ketawa tidak kering gusi. Terdapat juga pembaca yang ketawa sendiri apabila membaca dan orang yang melihatnya akan ingat pembaca itu gila. Majalah ini banyak mempamerkan kisah-kisah yang berlaku dalam kehidupan kita dan terdapatnya bahagian ilmu pengetahuan. Antaranya, bangunan paling luas di dunia, 7 konsep taman bunga paling indah di dunia dan teka silang kata.

Dalam majalah ini terdapat juga beberapa kesalalahan bahasa seperti penggunaan bahasa slanga iaitu “relax bro”, “pehal nie” dan “hambik kau”. Selain itu penggunaan singkatan perkataan seperti “kat”, “tau”, “takde” dan “ko”. Kesalahan ejaan juga ada terdapat dalam majalah ini iaitu “kawin”, “ilang” dan “bizi”. Kata ganti diri yang digunakan juga bersifat agak kasar seperti “woi”, “diorang”, “wey” dan “hoi”. Terdapat juga penggunaan bahasa inggeris seperti “try testing skill”, “free style” dan “racing block”.

Bahas Melayu secara keseluruhannya sepatutnya digunakan di dalam majalah ujang ini bagi mempuk minat pembaca terhadap bahasa Melayu.  

Sunday 14 October 2012

DIARI 13: PERBEZAAN MAKSUD “SIKAT” MENGIKUT MASYARAKAT TERENGGANU DAN SABAH.


Perkataan “sikat” membawa makna yang berbeza bagi sesebuah masyarakat. Bagi masyarakat di semenanjung seperti Terengganu “sikat” membawa maksud alat yang digunakan untuk menyikat rambut manakala bagi masyarakat sabah pula pengertian “sikat” adalah alat yang digunakan untuk menyikat kain. Pengertian yang berbeza ini membawa kepada pemahaman yang berbeza kepada seseorang itu.

Contohnya, keadaan rakan saya dirumah yang berasal daripada Terengganu dan Sabah. Pada suatu hari rakan yang berasal daripada Terengganu datang ke bilik untuk meminjam “sikat” daripada rakan yang berasal daripada sabah itu. Dia memberikan berus kain atau sikat kain  kepada rakan Terengganu tersebut. Rakan Terengganu pun berasa kehairanan kerana sebenarnya dia mahu meminjam sikat rambut bukannya sikat kain.

Oleh itu, bagi memudahkan pemahaman seseorang yang berbeza negeri ini, bahasa Melayu asli haruslah digunakan. Perkataan “penyikat rambut” haruslah digunakan bagi memudahkan semua orang atau masyarakat untuk memahaminya.  


DIARI 12: TEMPLET



Beberapa hari yang lalu, saya dan rakan pergi ke kafetaria untuk membeli makanan. Dalam perjalanan ke kafetaria kami didatangi oleh beberapa orang pelajar dan mereka memberikan satu templet berkaitan dengan minggu kempen sempena minggu kesihatan mental sedunia. Tajuk kempen ini adalah Depresi: Krisis Global dan telah dianjurkan pada tarikh 9/10/2012 hingga 12/10/2012.

Melalui templet ini saya mengetahui banyak maklumat berkaitan dengan kesihatan mental. Sesebuah organisasi keanggotaan antarabangsa yang ditubuhkan pada tahun 1948 iaitu WFMH bertujuan mencegah gangguan mental dan emosi, memberi rawatan yang betul dan mengelakkan gangguan mental dalam kalangan rakyat pelbagai negara. Terdapat pelbagai jenis depresi iaitu mayor depresi, atipikal depresi, depresi psikotik, dysthymia dan manic depresi. Penyakit depresi ini boleh dicegah melalui makan makanan seimbang, tidur yang mencukupi dan berkongsi masalah dengan keluarga dan teman-teman yang rapat.

Di dalam templet tersebut terdapat beberapa kesalahan ejaan seperti perkataan “kalang”, “emosiona” dan “bahwa”. Kesalahan tanda baca juga terdapat dalam templet ini iaitu dipenghujung ayat terdapat tanda koma. Sepatutnya, bahagian akhir ayat mesti menggunakan tanda noktah dan bukannya tanda koma. Kesalahan-kesalahan sebegini tidak sepatutnya terdapat pada sesuatu templet kerana ianya akan menyebabkan minat orang untuk membaca templet tersebut berkurangan. 

Wednesday 10 October 2012

DIARI 11: PERCAMPURAN KOD DAN SINGKATAN PERKATAAN

Malam ini saya telah melayari internet seperti biasa. Saya telah melayari ‘facebook’. Semasa sedang asyik melayan ‘facebook’ , saya telah terbaca sebuah dialog yang ditulis dalam pautan“awak kalau awak marah saya jangan lama-lama”. nanti saye rindu. Ianya menceritakan tentang seorang budak bernama Ali yang sedang belajar cara untuk membuka akaun facebook. Antara perbualan tersebut ialah:

Ali: Abu…leh x ajar aku wat facebook?
Abu: Boleh je…ko g Mozilla, then taip la www.facebook.com.
Ali: Ok, then?
Abu: Ko isi la form tu smua mengenai ko…
Ali: Err…x de form laa..dia kuar “the page cannot be displayed”.
Abu: Ermm..mybe ada mslh pd connection internet ko kot.
Ali: Laa..kena ada internet ke? Rumah aku takde internet.

Melalui perbualan tersebut, kita dapat mengetahui bahawa ali tidak mempunyai pengetahuan tentang ‘facebook’ dan dia tidak mengetahui bahawa melayari internet memerlukan jaringan wifi. Semasa membaca dialog Ali dan Abu, saya mendapati terdapat kesalahan bahasa dalam perbualan tersebut iaitu berlaku percampuran kod ataupun percampuran bahasa antara bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Contohnya, perkataan “then”, “form” dan “connection”. Mereka juga menggunakan singkatan perkataan seperti “je” menggantikan “saja”, “x” menggantikan “tidak” manakala “de” menggantikan “ada” dalam bahasa Melayu. Kesan penggunaan percampuran kod dan singkatan perkataan ini akan menjejaskan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat terutamanya pelajar. Oleh itu, percampuran kod dan singkatan perkataan tidak seharusnya digunakan dalam kalangan masyarakat sekarang terutamanya di laman sosial seperti ‘facebook’.




Sunday 7 October 2012

DIARI 10: BAHASA SABAH


Tengah hari tadi saya dan rakan saya yang berasal dari kedah pergi ke kafetaria untuk membeli makanan. Semasa berada di kafetaria, saya terjumpa rakan yang juga berasal dari sabah.  Kami pun berbual seketika. Antara bait-bait perbualan kami ialah:

Rakan: Indak.
Saya: Napa aru.
Rakan: Wui lama aq tak tengok kau. Tiket balik sabah sudah kau beli untuk cuti sem         nanti?
Saya: Ia bah. Blm lg aku bli sebab mau tengok jadual exam dulu, takut keawalan pula flight ku nanti. Hehehe...Kau sudah akanun ka?
Rakan: Baru jak aq makan nie.
Saya: Bah yalah. Aq mau beli makan nie. Bye.
Rakan: Bye. Apa-apa hal contect yer.
Saya: Ok.

Selepas itu, saya dan rakan saya yang berasal dari kedah pun membeli makanan. Dalam perjalanan pulang ke rumah dia yang kebingungan pun bertanya soalan kepada saya kerana tidak memahami sebahagian perbicaraan saya dan rakan sebentar tadi. Dia bertanya apa maksud “indak”, “aru” dan “akanun” kepada saya. Saya menjelaskan bahawa “indak” dan “aru” membawa makna yang sama iaitu perempuan dan saya menambah lagi kalau lelaki kami memanggil mereka “otok”. Perkataan “akanun” pula membawa makna makan. Dalam perbualan tersebut juga terdapat kesalahan hukum D-M.

Perbualan kami juga terdapat banyak penggunaan singkatan perkataan dan juga percampuran bahasa asing. Bahasa yang saya dan rakan yang berasal dari sabah menyukarkan rakan saya yang berasal dari kedah untuk memahami perbualan kami. Oleh itu, penggunaan bahasa Melayu haruslah dititikberatkan agar martabat bahasa Melayu dapat diangkat.
           

DIARI 9: FORUM ILMU

Semalam satu forum ilmu diadakan di dewan kolej Za’ba pada pukul 9 malam. Forum yang disampaikan bertajuk “kahwin semasa belajar”. Dua orang panel jemputan di undang untuk forum tersebut. Kumpulan nasyid ad-din juga turut di undang bagi menyerikan lagi majlis tersebut. Kedua-dua ahli panel menyampaikan forum mereka dengan baik sekali dan maklumat tersebut cukup untuk menambah ilmu pengetahuan pendengar tentang “kahwin semasa belajar”. Semasa pengucapan mereka, kedua-dua ahli panel tersebut sering menggunakan dialek mereka. Contohnya, ahli panel pertama sering menggunakan dialek perak iaitu perkataan “koma” yang bermaksud “kamu” dalam bahasa Melayu standard.

Kepelbagaian bahasa dan dialek telah menyukarkan seseorang itu untuk memahami sesuatu perkara. Hal ini demikian kerana tidak semua pendengar itu berasal dari negeri yang sama dan memahami dialek yang digunakan oleh pengucap. Bagi memastikan sesuatu maklumat itu sampai kepada pendengar, ahli panel sepatutnya menggunakan bahasa Melayu standard. Melalui penggunaan bahasa Melayu standard ini kita dapat memperjuangkan martabat bahasa Melayu itu sendiri.

Saturday 6 October 2012

DIARI 8: KELAS SILAT


Pada hari ini kelas kokurikulum iaitu silat cekak Malaysia berjalan seperti biasa. Kelas bermula pada jam 8 pagi. Setelah habis latihan, tenaga pengajar kami memberikan sedikit maklumat tambahan berkaitan dengan silat cekak ini. Semasa dia sedang bercakap di hadapan, terdapat dua orang pelajar lelaki bercerita di belakang. Tenaga pengajar tersebut berhenti bercakap sebentar dan menyambung percakapannya dengan mengatakan bahawa perbuatan kedua-dua pelajar lelaki tersebut adalah tidak beradab dan tidak menghormati orang lain yang sedang bercakap di hadapan .

Pelajar tersebut juga menggunakan perkataan “eh” semasa memanggil rakannya. Kata ganti nama diri tersebut dianggap tidak beradab kerana mereka seharusnya menggunakan kata ganti nama diri seperti “awak” dan “saya” walaupun semasa berbual bersama rakan sendiri. Hal ini bagi membiasakan mereka untuk menjaga adab semasa bercakap bersama orang lain.

 Pelajar tersebut juga tidak mengucapkan kata maaf kepada tenaga pengajar tersebut, sebaliknya hanya tersenyum tanpa rasa bersalah. Dia seharusnya memohon maaf bagi menunjukkan rasa hormat kepada tenaga pengajar tersebut dan sebagai tanda tidak akan mengulangi kesalahan yang sama. 

Friday 5 October 2012

DIARI 7: SITUASI PERJALANAN BALIK KOLEJ


Saya bersama dengan seorang rakan saya dalam perjalanan balik ke kolej Za’ba. Dalam perjalanan balik kami terjumpa dengan rakannya yang berasal dari tempat yang sama iaitu Kedah. Dia sempat berbual-bual bersama rakannya itu. Antara bait-bait perbualan mereka adalah seperti berikut:

Rakan 1: Hang dari mana?
Rakan 2: Aku dari hantaq assignment.
Rakan 1: Oh, rajin hang ye! Eh, malam nie ada perjumpaan rakan exco! Hang p dak?
Rakan 2: P. pasai apa?
Rakan 1: Kita p sama.
Rakan 2: Ok.

Semasa mereka berbual, saya kerap mendengar mereka menggunakan dialek utara. Antara kesalahan yang saya dapati dalam perbualan mereka adalah penggunaan huruf “q” dalam dialek utara bagi menggantikan huruf “r” dalam bahasa Melayu standard seperti perkataan “hantaq” menggantikan “hantar” manakala perkataan “pasai” menggantikan “pasal”. Terdapat juga penggunaan kata ganti nama diri dalam perbualan mereka iaitu “kau” menjadi “hang”. Singkatan perkataan juga ada terselit dalam perbualan mereka iaitu perkataan “pergi” menjadi “p”.  Mereka juga mencampurkan bahasa inggeris dalam perbualan iaitu perkataan “assignment”.
Penggunaan bahasa Melayu standard harus digunakan walaupun dalam perbualan biasa. Hal ini demikian bagi meningkatkan penggunaan bahasa Melayu di dalam diri seseorang rakyat Malaysia terutamanya pelajar.





DIARI 6: SITUASI DI KEDAI MAKAN


Semasa makan bersama kawan-kawan di kedai makan, ada seorang mak cik masuk ke kedai itu menjual kerepek. Dia lalu di hadapan televisyen di dalam kedai itu. Ada seorang pelanggan yang makan di situ memarahi mak cik tersebut mengguna kata panggilan yang kasar iaitu “orang tua” kerana menghalang pandangannya kepada televisyen itu.

Perlakuan orang tersebut adalah tidak wajar kerana dia menggunakan kata sapaan yang tidak sepatutnya. Dia seharusnya memanggil menggunakan perkataan “mak cik” bagi menghormati mak cik itu dan tidak menggunakan perkataan “orang tua” kerana di anggap tidak sopan atau kurang ajar.  

Sunday 30 September 2012

DIARI 5: IKLAN PETRONAS SAYANGI ORANG TUA KITA 2009




Iklan ini mula diterbitkan pada tahun 2006. Kisah ini menceritakan kisah seorang bapa yang sedang sakit dan di jaga oleh anaknya tetapi layanan yang diberikan oleh anak dan menantunya adalah buruk kerana dia selalu membuat kacau. Hal ini membuatkan mereka sekeluarga kurang selesa dengan keadaan itu. Akhirnya, mereka mereka menyuruh bapanya makan di luar rumah menggunakan pinggan dan gelas plastik. Suatu hari anak mereka menyedarkan mereka dengan mengatakan sesuatu yang membuka hati mereka untuk melayan orang tua itu dengan baik.

Kesalahan bahasa yang terdapat dalam dialog tersebut adalah menggunakan singkatan perkataan dalam perbualan. Terdapat juga perkataan asing yang digunakan dalam dialog ini seperti perkataan “carpet”.


DIARI 4: KESALAHAN BAHASA DALAM KERATAN AKHBAR


Saya telah membaca keratan akhbar yang bertarikh 15 Jun 2012 bersamaan hari jumaat berkaitan dengan iklan yang bertajuk “untuk setiap perniagaan kecil yang ingin menjadi besar dan perniagaan besar yang ingin lebih berjaya. Terdapat beberapa kesalahan bahasa  yang dapat dikesan dalam iklan tersebut. Berikut adalah ayat yang terdapat dalam iklan tersebut:

“Printworks adalah merupakan acara tahunan NSTP yang kini masuk tahun keenam. Di dalam masa tersebut, kami telah membantu lebih dari ribuan syarikat di Malaysia mencacat hasil yang memberangsangkan. Jangan ketinggalan untuk merebut peluang hebat ini, anda hanya memerlukan 30 minit untuk mempelajari cara mendekati pelanggan melalui rangkaian akhbar paling berjaya di Malaysia. Kami mempunyai teknik pemasaran yang bersesuaian untuk setiap perniagaan”.

 Antara kesalahan bahasa yang dapat saya kesan ialah pengulangan kata pemeri yang sama maksud iaitu kata ‘adalah’ dan ‘merupakan’. Seterusnya ‘di’ yang digunakan untuk merujuk masa adalah tidak sesuai kerana perkataan ‘di’ digunakan untuk merujuk tempat. Penggunaan kata  ‘dari’ juga adalah tidak sesuai kerana perkataan ‘dari’ merujuk kepada tempat dan masa dan perkataan ‘dari’ harus digantikan dengan perkataan ‘daripada’ yang merujuk pada punca atau sumber.

DIARI 3: KESALAHAN BAHASA DALAM PENULISAN


Saya telah membaca sebuah karangan yang ditulis oleh rakan saya berkaitan dengan kenaikan harga minyak.  Saya telah mengambil satu perenggan daripada karangan itu dan mencari kesalahan bahasa yang terdapat di dalamnya. Contoh perenggan yang saya ambil ialah:

Pengeluar mahupun pemborong perlu menimbangkan kepentingan minyak masak kepada pengguna dan bukan sepatutnya menaikkan harga minyak masak atas pelbagai alasan setelah mereka memperoleh subsidi daripada kerajaan semenjak bulan Januari yang lalu. Pengeluar mengaitkan kenaikan harga minyak masak dengan kenaikan harga petrol, upah membungkus  dan harga plastik paket yang digunakan. Oleh sebab itu, harga sekilogram minyak masak paket terpaksa dinaikkan kepada RM 2.75 hingga RM 3.00 sepaket berbanding dengan harga syiling RM 2.50 yang ditetapkan oleh kerajaan. Sehubungan dengan itu, kerajaan harus melipatgandakan usaha-usaha praktikal dan berkesan untuk menangani masalah ini”.

Kesalahan bahasa yang terdapat dalam perenggan ini ialah kata hubung berpasangan tidak digunakan secara lengkap. Kata hubung “mahupun” harus digandingkan atau berpasangan dengan kata “baik” untuk membawa maksud kedua-duanya. Seterusnya, kata nafi “bukan” digunakan sebagai unsur nafi bagi frasa nama atau frasa sendi nama sahaja sedangkan “menaikkan” ialah kata kerja.  Kesalahan hukum D-M. Perkataan paket adalah unsur diterangkan manakala plastik perkara yang menerangkan. Akhir sekali, kata nama yang mengikuti atau mendahului kata kerja yang bermaksud jamak tidak perlu digandakan kerana pengulangan maksud jamak menyebabkan lewah.


DIARI 2: PERBUALAN DI STESEN BAS


Semasa menunggu bas, saya terdengar 2 orang pelajar Terengganu bercerita tentang pembelian tiket untuk balik ke kampung semasa cuti hari raya nanti. Antara isi kandungan dialog mereka adalah:

Pelajar 1 : Mu beli tiket balik kampung dok lagi?
Pelajar 2: Dok lagi. Dah mu?
Pelajar 1: Aku beli dah.
Pelajar 2: Mu balik naik nape? Berapa ya?
Pelajar 1: Train. Harga 34 ya. Kalau dok silap aku tiket kelas ekonomi habis dah.     Hok ada tiket second class je.

Kesalahan bahasa yang berlaku ialah kedua-dua pelajar tersebut menggunakan dialek Terengganu yang tidak difahami oleh segelintir pelajar yang bukan berasal daripada Terengganu. Mereka juga menggunakan percampuran bahasa asing dalam perbualan mereka iaitu “Train” dan “second class”. Mereka seharusnya menggunakan bahasa standard agar pelat dialek mereka dapat dikurangkan.       




DIARI 1: PAPAN TANDA



Kesalahan bahasa pada papan tanda jalam, iklan, premis-premis perniagaan dan bangunan-bangunan kita akan dapat kesan jika kita sentiasa peka akan kesalahan bahasanya. Masyarakat pada masa kini sudah tidak mengendahkan kesalahan-kesalahan bahasa yang mereka lihat di hadapan mata mereka sendiri. Contohnya, kesalahan pada papan iklan di bawah ini:






Papan tanda perniagaan ini mengandungi kesalahan imbuhan iaitu perkataan ‘memdandan’. Perkataan “dandan” dalam ayat “kedai memdandan rambut dan persolekan” seharusnya menggunakan imbuhan “men” menjadi mendandan.  Hal ini kerana meN- akan menjadi men- apabila bergabung dengan kata dasar yng bermula dengan huruf d.