Saturday, 3 November 2012

DIARI 25: PENGALAMAN BERAYA DI KEDAH


Cuti hari raya selama seminggu ini saya mengikuti rakan saya iaitu Azza ke kampung halamannya. Kampungnya terletak di kampung Gelong, Jitra, Kedah yang mengambil masa selama 6 jam perjalanan untuk sampai ke sana. Semasa dalam perjalanan ke Jitra saya mendengar kebanyakan orang menggunakan dialek utara yang saya kurang fahami. Setibanya di stesen bas Jitra kami diambil oleh ibu bapa rakan saya. Saya berada di rumah mereka selama seminggu. Keluarganya sangat ‘sporting’ dan bahagia menyebabkan saya berasa seperti berada di rumah sendiri.

Semasa berada di situ saya telah pergi kenduri, berjalan di Jitra, pergi pawagam menonton filem ‘Apa Celop Toqqq’ dan makan di KFC bersama keluarga azza. Saya juga telah bersiar-siar di sekitar kampunnya dengan menaiki motor. Saya berasa gembira kerana ini adalah pengalaman kedua saya menaiki motor. Saya telah mendengar dan mempelajari serba sedikit tentang dialek kedah semasa berada di kampung rakan saya itu. Antara perkataan yang saya pelajari dan ingat ialah perkataan taboh (tumbuk), ceq (aku), sengkak (perut penuh atau terlalu kenyang), mai (datang), coklat (gula-gula), kelik (balik), cemana atau lagu mana (bagaimana), berlemuih (comot), sat (sebentar), la (sekarang), loq laq (tak senonoh), tokak (gigit), ayaq (air), beghaih (beras), kughuih( kurus), tebai (tebal) dan banyak lagi.

Beraya di kampung orang lain merupakan satu pengalaman yang indah. Kita dapat mempelajari tentang budaya hidup mereka dan mempelajari bahasa yang mereka tuturkan. Disamping mendapat keseronokan kita juga dapat mempelajari bahasa baru. Walaupun penggunaan bahasa Melayu standard kurang digunakan di kampung itu tetapi masyarakatnya hidup bahagia.

Penggunaan bahasa Melayu standard dalam kalangan masyarakat dapat dipupuk sekiranya masyarakat itu sendiri mempunyai minat dan kesedaran tentang pentingnya menggunakan bahasa Melayu standard. Bahasa Melayu standard penting sekiranya mereka hendak memohon pekerjaan dan berjumpa dengan orang yang berbeza negeri dan bahasa disamping memudahkan pemahaman orang lain tentang percakapan kita. Hal ini demikian kerana bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan Malaysia yang difahami oleh semua rakyat Malaysia.

Friday, 2 November 2012

DIARI 24: BARU ATAU BAHARU


Pada malam ini saya dan rakan saya duduk bersama-sama diruang tamu untuk makan. Setelah habis makan kami duduk bersama-sama melayari internet sambil bercerita. Dia kemudiannya bertanya tentang perbezaan perkataan ‘baru’ dan ‘baharu’. Hal ini kerana semasa di dalam kelas ada seorang rakan mereka bertanya kepada pensyarah tentang perbezaan perkataan ‘baru’ dan ‘baharu’. Oleh itu, pensyarah tersebut menyuruh mereka mencari beza perkataan tersebut dan akan disoal pada kelas yang akan datang iaitu selepas cuti hari raya haji.

Saya memberitahu kepada rakan saya itu bahawa guru saya pernah memberitahu kami tentang perbezaan perkataan ‘baru’ dan ‘baharu’ semasa saya berada di tingkatan 6 dahulu. Menurut guru saya, ‘baru’ adalah Kata Bantu Aspek Masa, iaitu untuk merujuk kepada masa. Contohnya, baru habis makan, bsru selesai bertugas, baru tamat latihan, baru mula mahu mengenali hati budi dan lain-lain lagi. Baharu pula ialah Kata Adjektif iaitu untuk menerangkan tentang perkara-perkara, barang-barang atau benda-benda baharu. Contoh penggunaannya ialah seluar baharu, azam baharu, tilam baharu, Iphone 4s baharu dan sebagainya. 

DIARI 23 : BAHASA PIJIN

Bahasa Pijin adalah nama yang diberikan kepada bahasa perhubungan yang digunakan oleh penutur pelbagai bangsa yang bertemu dan berhubung antara satu sama lain. Bahasa yang digunakan tidak semestinya salah satu bahasa asal kedua-dua pihak penutur tersebut. Bahasa Pijin terbit daripada satu bahasa yang secara drastik dipermudahkan struktur dan kosa katanya. Bahasa ini tidah digunakan oleh komuniti bahasa sebagai bahasa asal sebaliknya dipelajari. Contohnya, Bahasa Pijin ini digunakan oleh para pedagang semasa proses pertukaran barang atau ketika proses jual beli berlaku. Di Malaysia, kita boleh perhatikan bahasa Pijin digunakan oleh para peniaga yang terdiri daripada pelbagai kaum berhubung dengan pelanggan ketika berlaku proses jual beli.

Contoh bahasa pijin:
a)      mau apa?
b)      Kasi sama dia mangga itu.
c)      Lu mau angkat apa maa?





Gambar Pasar Sayur-Sayuran dan Buah-Buahan

Bahas Pijin digunakan oleh masyarakat cina dan india khususnya bagi memberi pemahaman kepada masyarakat Melayu yang diajak bercakap dengannya menyebabkan percampuran bahasanya maka lahirlah bahasa pijin. Bahasa Pijin juga boleh dikenali sebagai bahasa pasar manakala bahasa Pasar juga dikenali sebagai bahasa kacukan antara bahasa Melayu dengan bahasa lain. Pelat penyebutan dipengaruhi oleh pelat bahasa ibunda penutur. Kebiasaannya penutur bahasa Pasar kerap menggunakan perkataan punya. Contohnya, dia punya barang dan apa punya budak. Masyarakat seharusnya mengelakkan penggunaan bahasa Pijin mahupun bahasa Pasar semasa berbual. Mereka seharusnya mengutamakan penggunaan bahasa Melayu Standard bagi melancarkan bahasa Melayu mereka.

DIARI 22: STATUS DI FACEBOOK










        Pada hari ini seperti biasa saya mengisi masa yang terluang dengan melayari internet dan membuka laman sosial facebook. Saya mendapat banyak maklumat yang berguna dan mengetahui tentang perkara-perkara yang berlaku di seluryh dunia tanpa perlu membaca surat khabar dan menonton televisyen. Semasa leka membaca cacatan atau status yang ditulis oleh rakan0rakan di laman sosial ini, saya telah terbaca status seseorang seperti yang terdapat pada rajah di atas. Status ini berkaitan dengan dirinya yang sedang manghadapi sakit kepala. Beberapa orang telah membalas status yang dia tulis atau pamerkan.

Dalam ayat-ayat di atas terdapat penggunaan dialek seperti “tak dok", “pasaipa” dan “sangait”. Seterusnya, terdapat juga penggunaan singkatan perkataan seperti “tdo” iaitu “tidur” dan “nk” iaitu “nak” . Percampuran kod juga terdapat dalam ayat-ayat di atas seperti “orait”. Mereka seharusnya menggunakan bahasa Melayu Standard semasa membalas status tersebut agar dapat meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dan menanamkan minat atau rasa cinta terhadap bahasa Melayu di dalam diri mereka.

Thursday, 1 November 2012

DIARI 21: PERKATAAN “BAH”


Penggunaan perkataan “bah” merupakan satu perkataan yang paling istimewa buat orang Sabah. Salah satu penggunaan kata yang membezakan bahasa Melayu Sabah dengan bahasa Melayu standard ialah kata “bah” yang sering digunakan dalam percakapan. Kata tambah “bah” mempunyai fungsi seperti berikut:

a)     Kata penyudah untuk menguatkan ekspresi kata seperti “iyabah” atau “iyalah”.

b)    Kata tambah pemula untuk memulakan percakapan. Selalunya digunakan pada permulaan kata    seperti “bah, kamu pigi lah dulu” atau  “kamu pergilah dulu”.

c)   Memberi maksud sudah atau penghabis kata. Pengganti dalam bahasa Melayu iaitu “baiklah”  atau “begitulah”. Contohnya:

bahasa Sabah: “Boy, nanti ko pigi beli beras di kadai sana”. Boy menjawab, “bah”.
            bahasa standard: ”Boy, nanti pergi beli beras di kedai. Boy menjawab, “baiklah”.

d)      Untuk menegur atau menyapa orang. Lazimnya orang Sabah akan menyebut “bah” bila berselisih dengan orang yang dikenali untuk tujuan menyapa orang tersebut. Contohnya, ko orang KL bah kan?, sejuk bah ni air dan awal lagi bah.

Masyarakat Sabah memang sinonim dengan perkataan “bah” yang begitu unik. Tetapi, saya sering mendengar perkataan “bah” disalahgunakan oleh segelintir masyarakat. Mereka suka menambah perkataan “bah” pada setiap akhir ayat. Contoh penyalahgunaan perkataan “bah” adalah seperti berikut:

a)      “apa khabar bah?”- untuk bertanya khabar tetapi ayat ini salah.
b)      “sudah makan ka bah?”- bunyinya pelik
c)      “bila balik bah?’- ayat yang tidak betul

Oleh itu, marilah kita bersama-sama menggunakan bahasa Sabah dengan betul. Bercakaplah dengan menggunakan bahasa yang betul. Tidak salah kalau salah cakap sebagai langkah pertama untuk belajar.