Tuesday 16 October 2012

DIARI 17: PENGGUNAAN KATA PEMERI


Kata pemeri terbahagi kepada dua iaitu “ialah” dan “adalah” bagi merungkaikan frasa subjek dan predikat. Kata pemeri “ialah” digunakan apabila predikatnya terdiri daripada frasa nama dan digunakan untuk menyampaikan maksud persamaan atau ekuatif. Manakala kata pemeri “adalah” digunakan untuk menerangkan subjek dengan predikat yang terdiri daripada frasa adjektif dan frasa sendi nama.

Kesalahan penggunaan kata pemeri kerap dilakukan oleh pelajar semasa membina ayat atau menghasilkan karangan. Contoh kesalahan penggunaan kata pemeri “ialah” dan “adalah” seperti berikut:
a)      Mamalia adalah haiwan berdarah sejuk.
b)      Minatnya sejak kecil ialah dalam permainan bola sepak.

Bagi ayat (a), kata pemeri “ialah” sepatutnya digunakan kerana diikuti frasa nama manakala ayat (b) pula harus menggunakan kata pemeri “adalah” kerana ianya hadir di depan frasa sendi nama. Dalam ayat dasar pula kata pemeri tidak perlu digunakan kerana ayat tersebut sudah gramatis. 

No comments:

Post a Comment